Posted on 02:31, May 25th, 2008 by miss Gossip

KUALA LUMPUR 24 Mei – Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF) diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah, Stacy (gambar) dinobatkan sebagai juara AF6 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.

Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.

Kemenangan Stacy sudah dijangka kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan, dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penyokongnya.

Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang hadiah yang bernilai lebih RM700,000.

Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan, kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000 serta sebuah trofi bersalut emas.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.

Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah trofi.

Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22, yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz) dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.

Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.

Sumber : Utusan Malaysia Online, 25 May 2008

Posted on 11:33, May 20th, 2008 by miss Gossip

Juara Akademi Fantasia musim ke-5, Norsyarmila Jirin atau Mila (gambar), 21, berjaya mengharumkan nama negara apabila menerima dua anugerah termasuk lagu terbaik pada majlis Discovery Pop Festival ke-17 yang berlangsung di Opera House Varna di sini, kelmarin.

Mila menjulang tempat pertama dalam kategori lagu terbaik menerusi lagu Ilham Di Mata, menewaskan Fiona dari Malta yang mendapat tempat kedua dan Alberto dari Itali yang mendapat tempat ke-3.

Lirik lagu Ilham Di Mata itu ditulis oleh Ajai manakala lagunya hasil sentuhan Loloq.

Selain itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu turut mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima anugerah khas juri.

Ini kemenangan pertama Mila di peringkat antarabangsa dan dengan kemenangan ini beliau menerima hadiah wang tunai RM7,500, piala serta sebuah lukisan yang dilukis khas oleh pelukis terkenal Bulgaria.

Selain Mila dari Malaysia, Discovery Pop Festival ini disertai penyanyi dari 14 buah negara lain antaranya, Itali, Romania, Bulgaria, Cyprus dan Malta.

Sumber : Kosmo! Online, 20 Mei 2008

Search: