Posted on 09:46, May 6th, 2008 by miss Gossip

PENYANYI Anuar Zain mengaku dia amat terkilan apabila tidak dapat turun ke pentas beramah-mesra dan mendekati penonton yang hadir menyaksikan persembahannya pada acara A Nite With… Anuar Zain di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Selalunya, artis yang kini tampil menggayakan rambut potongan pendek ini akan turun dari pentas, menghampiri peminatnya tatkala mengadakan persembahan. Namun, keadaannya amat berbeza 2 Mei lalu apabila penyanyi ini terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, bagi mengelakkan sebarang kontroversi.

Pada sidang akhbar mengumumkan persembahannya itu baru-baru ini, kenyataan pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini menarik minat sesetengah pihak untuk memperkatakannya sehingga ia menjadi sebuah isu. Kononnya, Anuar merelakan peminat mencium dirinya pada persembahan itu.

“Saya memang teringin sekali hendak turun (dari pentas), bertemu peminat dari meja ke meja seperti biasa. Tetapi, faham-faham sajalah apa akan jadi jika saya berbuat demikian. Jika boleh, saya ingin memuaskan hati semua orang yang datang.

“Ini hanyalah sebuah persembahan. Namun sebahagian daripada kita melihatnya dengan pandangan berbeza. Lalu, jika mereka menganggapnya suatu tindakan yang tidak betul, hendak tak hendak saya kena lupakan hasrat untuk turun menemui peminat di bawah sana. Amat menyedihkan juga apabila saya berasakan sesuatu sudah hilang dalam persembahan ini. Saya terpaksa melakukannya untuk mengelakkan kontroversi,” katanya ketika ditemui sebaik saja tamat persembahan.

Pada malam itu, dewan berkenaan penuh sesak dengan 1,240 peminat penyanyi berusia 38 tahun itu. Penyanyi lelaki paling digilai peminat wanita ini menyampaikan kira-kira 16 lagu pada majlis berkenaan, dalam persembahan yang memakan masa hampir sejam setengah.

Read the rest of this entry »

Search: