SEJAK usianya 15 tahun, Ashvin Kumar Nair sudah pun mula mengasah bakatnya dalam bidang ciptaan lagu. Cuma, ketika itu, peluangnya untuk mengetengahkan bakat terpendam belum menjelma.
Namun, Ashvin atau kini lebih dikenali sebagai Ash Nair saja, tidak pernah memadamkan impiannya bergelar pemuzik berjaya. Lalu, dia memasang harapan untuk mempunyai album sendiri sejak awal lagi. Impian itu tertangguh seketika apabila Ash menyertai pertandingan realiti, Malaysian Idol musim kedua. Dia sendiri tidak menyangka dirinya mampu melangkah sejauh itu - hingga ke peringkat Top 12 - dalam pertandingan nyanyian berkenaan.
Selepas pertandingan itu, Ash sekali lagi menumpukan perhatian kepada penghasilan album sulungnya. Selepas kira-kira empat tahun, Chameleon akhirnya menemui peminat pada 31 Disember 2007. Album Inggeris yang turut memuatkan dua lagu Melayu itu mula dirakam pada 2003 dan tamat pembikinannya pada November tahun lalu.
Sebagai penghasilan pertama, Ash sendiri mahukan album berkenaan muncul buah tangan yang cukup dekat dengan dirinya.
“Ia umpama sebuah nota perjalanan hidup dan karier saya sepanjang empat tahun menghasilkan album. Chameleon ialah perjalanan hidup Ash Nair selama tempoh berkenaan,” ujar jejaka berusia 27 tahun ini.