“YA! saya sudah bercerai dengan Datuk Syukri,” demikian pengakuan tulus daripada Azharina Azhar ketika dihubungi untuk bertanyakan tentang kesahihan cerita perceraiannya yang semakin hari semakin banyak diperkatakan.
Tanpa banyak mengelak, Azharina bercerita kisah-kisahnya, daripada isu perkahwinan hinggalah kepada kes perceraian yang digembar-gemburkan.
“Tidak pernah saya menangis tetapi akhirnya air mata saya tumpah juga apabila mengenangkan perkara yang berlaku.
“Tapi saya reda atas ketentuan-Nya dan saya percaya, jodoh kami hanya sampai di sini. Hari ini saya sudah mampu untuk kembali tenang dan menerima keadaan,” kata Azharina optimis.
Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi itu menafikan telah bercerai pada Hari Raya Aidiladha dan telah habis idah beberapa minggu lalu seperti yang heboh diperkatakan.
KUALA LUMPUR 8 Mei - Penyanyi Azharina Azhar, 23, hari ini mengesahkan bahawa perkahwinannya dengan Datuk Syukri Mohd., 50, sudahpun berakhir sejak tiga bulan lalu.
Katanya, dia dicerai talak satu oleh Syukri atau lebih dikenali sebagai Datuk S yang juga merupakan seorang peguam selepas dua tahun mereka mendirikan rumah tangga.
Biarpun enggan memberitahu tarikh perceraian tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi itu menafikan khabar angin mereka telah bercerai sekitar Hari Raya Aidiladha lalu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
“Cukup saya katakan saya sudah bercerai dengan Datuk Syukri. Saya harap tiada yang akan bertanyakan perkara itu lagi selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Azharina memberitahu, keputusan untuk bercerai itu dibuat akibat tekanan yang dihadapinya kerana ada pihak yang kurang senang terhadap rumah tangga mereka.
Dia juga menolak dakwaan punca penceraian itu disebabkan suaminya enggan memiliki cahaya mata seperti yang pernah dihebohkan sebelum ini.
Walaupun terpaksa menerima ujian itu, namun Azharina masih mencintai Syukri dan mengakui hubungan mereka selepas bercerai tetap baik.
“Dia sendiri memberitahu sedih dengan penceraian ini tetapi berharap hubungan kami akan terjalin seperti kawan baik kerana dia juga masih mencintai saya,” katanya.
Mengenali suaminya sejak berusia 17 tahun, Azharina sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila merahsiakan status dirinya sehinggalah gambar perkahwinan mereka tersebar di Internet.
Bagaimanapun sejak beberapa bulan lalu, penyanyi itu mula ‘membuka mulut’ mengenai status perkahwinannya.
Sumber: Utusan Malaysia Online, 9 Mei 2008