
Apa sebenarnya kes “spedo” suami Ifa? Macam mana isu ini boleh timbul?
Ifa sendiri pun pelik juga, tiba-tiba muncul cerita ini pula. Orang tak tahu cerita sebenarnya. Dia orang boleh cakap apa saja. Tetapi hal dalam rumah tangga kami, hanya kami yang tahu. Orang luar tak tahu, tetapi kalau orang hendak tahu sangat terpaksalah Ifa ceritakan juga. Sebenarnya selain menjadi pengurus, suami Ifa adalah rakan kongsi dalam syarikat Ifa, iaitu Ifa Raziah Entertainment. Dia yang menguruskan segala hal ehwal karier Ifa, dia buat pengurusan acara dan macam-macam lagilah.
Sebenarnya apa kerja suami Ifa sebelum ini?
Dulu dia pernah ada syarikat seni reka grafik. Suami Ifa graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dia memang banyak berkorban untuk Ifa sebenarnya tapi orang tak tahu. Masa kami tengah bercinta, Ifa sudah ada anak. Dia kasihan tengok Ifa ke hulu ke hilir seorang diri. Anak ke mana, show ke mana. Bila dapat show pula bukan di Kuala Lumpur saja tapi kena pergi seluruh negara. Pergi seorang diri tak ada teman pula tu. Jadi, lebih senang kalau dia sendiri uruskan Ifa. Urusan jadi lebih mudah selepas kami kahwin. Ifa tak payah cari pengurus lain. Senang kerja. Lagipun kami cari rezeki untuk anak-anak, rumah tangga sendiri. Jadi Ifa rasa tak salah kalau suami Ifa jadi pengurus.