DULU seperti belangkas tetapi sejak kebelakangan ini mereka bagaikan sudah berpatah arang, berkerat rotan. Itu adalah antara cakap-cakap dalam dunia hiburan mengenai hubungan pelakon baru Suhaiza Suhaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Memey, 20, dengan seorang lagi artis yang juga produser, Darling Ngasri.
Kebetulan pula Darling adalah ibu saudaranya lalu tidak hairanlah jika mereka kerap kelihatan bersama dan berkongsi rumah. Tetapi kini hubungan itu dikatakan sedikit renggang yang akhirnya membuatkan Memey membawa diri sejak dua bulan lalu. Lalu, timbullah pula cerita bahawa Memey lupa diri dan asal -usul.
Saat diajukan soalan itu kepada Memey, dia kurang selesa untuk menceritakan kerana baginya cerita keluarga terlalu peribadi untuk dikongsi bersama. Tetapi dia mengakui sejak tidak berhubungan dengan Darling, pelbagai cerita kurang enak yang datang menerjah.