MEMILIKI suara saprano, Syafinaz Selamat antara penyanyi yang dianggap bermulut ‘pedas’ apabila menjadi pengkritik sesebuah program realiti. Pernah diundang ke program Akademi Fantasia sebagai pengkritik undangan, namanya gemilang apabila bertindak sebagai pengkritik tetap untuk program One In A Million.

Pun begitu, bergandingan dengan Paul Moss, Syafinaz dianggap antara pengkritik yang sering memberikan komen-komen pedas. Bagaimanapun dalam masa yang sama ramai memuji kritikan Syafinaz yang dianggap tidak membabi buta.
Ini kerana pandangan yang diberi sentiasa bernas dan Syafinaz seringkali memperlihatkan sikap profesionalnya dalam menilai setiap persembahan dan vokal peserta.
Bertemu dengannya untuk fotografi ini, saya cuba menyelami diri seorang “Syafinaz Selamat” yang bukan sahaja popular sebagai penyanyi tetapi juga merupakan antara guru vokal di Akademi Seni Kebangsaan (kini Aswara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Memang orangnya manis dan tutur katanya lembut. Malah keperibadiannya yang dikatakan tegas itu sebenarnya mencerminkan perwatakannya yang matang, intelek dan bijak mengatur kata. Setiap bait kata disusun, diatur dengan bicara yang penuh tertib, amat mudah difahami tanpa banyak berselindung.