PADA dasarnya, Ziana Zain sudah memiliki segala-gala ketika usianya beranjak ke 40 tahun pada 2 Mei lalu. Dia ada nama yang dikira cukup kuat melekat di hati peminat, memiliki kerjaya yang sangat berjaya dan paling penting, keluarga yang sentiasa setia berada di belakangnya.
Lalu, apa lagi yang diinginkan wanita cantik ini tatkala usianya yang genap empat dekad?
“Menyanyi sudah, berlakon pun sudah, entahlah apa lagi yang saya mahukan ya? Sudah tentulah kini saya memohon kepada Tuhan supaya dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang masa, bagi membolehkan saya meneruskan kehidupan. Hidup kita tidak akan ada kelangsungan yang baik, jika tidak disertakan dengan kesihatan yang baik. Kita pula, tidak akan tahu apa berlaku pada masa depan.
“Saya juga memang berhasrat untuk menambah bilangan anggota keluarga. Jika kini kami hanya berempat, mungkin tahun depan, jika rezeki diberikan Tuhan, saya teringin mempunyai seorang anak perempuan.
“Ketika ini, saya sibuk dengan penerbitan album terbaru yang diharapkan dapat dipasarkan pada Jun nanti. Jadi, soal anak itu, mungkin sebaik-baiknya pada tahun depan sajalah. Mesti seronok jika saya diberikan anak perempuan pula. Bolehlah saya belikan pelbagai baju untuknya. Yalah, selama ini, saya asyik membelikan baju untuk anak saudara perempuan saya saja,” katanya.