LOS ANGELES - Model terkenal, Heidi Klum luka selepas satu sketsa pendek yang dilakonkannya bersama pengacara terkenal, Tom Bergeron pada majlis Anugerah Emmy baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Klum, 35, merancang untuk menari dengan Bergeron yang juga pengacara bersama program realiti televisyen Dancing With The Stars itu dalam Anugerah Emmy pada Ahad lalu.
Mengikut perancangan, Bergeron, 53, akan membuat lawak dengan berpura-pura menjatuhkan model itu secara tidak sengaja.
Bagaimanapun, Klum benar-benar tergelincir dan terus terjatuh di bahagian sisi sehingga menyebabkan pahanya bengkak.
Selepas membuat persembahan itu, Klum tersenyum dan menunjukkan kepada rakan-rakannya kecederaan yang dialami itu.
Dalam majlis anugerah itu, Mad Men memenangi anugerah Siri Drama Terbaik manakala aktor Bryan Cranston memenangi anugerah pelakon drama siri lelaki terbaik.
Aktres terkenal, Glen Close yang berlakon dalam drama Damages pula memenangi anugerah pelakon drama siri wanita terbaik. - Agensi
Sumber : Kosmo Online, 24 Sept 2008
Post a Comment